Friday, 8 June 2012

MENGENALPASTI TUJUAN MEMBINA KELUARGA


Di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah diciptakan-Nya untuk kalian isteri-isteri dari diri kalian sendir. supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya di antara kalian rasa kasih sayang.  Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

Surah ar-Rum ayat 21.

Daripada ayat di atas, jelas kepada kita bahawa tujuan untuk membina perkahwinan itu adalah untuk mewujudkan rasa tenteram dan kasih di antara setiap ahli keluarga. Ianya bermula daripada seorang lelaki yang mencari seorang perempuan untuk dijadikan isteri. Seseorang lelaki perlu mencari seorang isteri yang mampu mententeramkan hatinya serta memberi kesejukkan hati sekiranya dia bersama dengan isterinya. Maka setelah itu, kasih sayang akan menjadi terus subur dan bercambah sehingga menghasilkan zuriat yang soleh dan solehah.
Ketenteraman hati serta kasih sayang yang utuh diantara ahli keluarga akan mewujudkan sebuah keluarga yang sakinah. Sakinah membawa maksud ketenangan atau kebahagian dan ini lah yang kita cari dalam kita membina keluarga kita.


Setiap pasangan yang berkahwin dan membina keluarga akan di titipkan oleh Allah mawaddah warahmah. Mawaddah warahmah merupakan rasa kasih sayang di antara mereka. Mawaddah lebih kepada kasih sayang yang bersifat syahwat. Setiap pasangan suami isteri akan mempunyai rasa ini melakukan hubungan persetubuhan untuk melahirkan zuriat mahupun untuk memenuhi keperluan batin masing-masing. Keperluan batin yang dicukupi dengan cara yang halal akan menguatkan rasa kasih sayang serta ketenangan dalam diri seseorang. Namum mawaddah kebiasaannya adalah terbatas. Ini kerana kemungkinan rasa mawaddah ini berkurangan apabila pasangan suami isteri telah mencapai usia senja atau pun salah seorang daripada pasangan suami isteri tidak mampu melayan pasangannya atas sebab-sebab tertentu.
Maka dari itu, Allah turunkan rahmah. Rahmah bermaksud rasa kasih sayang yang suci murni tanpa melibatkan perasaan syahwat. Oleh sebab itu, kadangkala kita melihat ada di antara suami atau isteri yang sanggup bersama dengan isteri/suami mereka sehingga ke akhir hayat walaupun pasangan mereka sudah tidak mampu memenuhi kepuasan batin mereka. Ini lah yang dikatakan sebagai titipan mawaddah warahmah daripada Allah untuk sebuah keluarga. Hanya mereka yang berpegang teguh pada agama Allah serta sunnah nabi yang akan dapat merasai titipan Allah ini.
Prof Dr Hamka berpendapat, rahmah mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding mawaddah. Ini kerana rahmah merupakan kasih sayang yang bukan berasaskan syahwat sebalikkan kasih sayang yang lahir dari jiwa hati nurasi setiap pasangan. Pada masa itu, mereka tidak lagi memikirkan tongkat ali, Viagra dan ubat-ubat kebatinan untuk mengembalikan kekuatan tenaga batin sebaliknya mereka bersama-sama berusaha mendekati diri kepada Allah serta memperbanyakkan ibadah. Mereka akan menjadi contoh tauladan kepada anak-anak dan cucu-cucu agar memilih pasangan sebaiknya.
Namun, sedar atau tidak, bukan semua pasangan mampu merasai mawaddah warahmah walau sebenarnya mereka memiliki perasaan tersebut. Kenapa terjadi begitu?. Jawapan mudah. Ini kerana mereka hanya membina keluarga biasa, bukannya membina keluarga islam. Keluarga islam merupakan keluarga yang dibangunkan atas dasar ketaatan kepada Allah SWT dan mencari keredhaan Allah SWT melalui hukum syarak yang telah ditentukan oleh Allah. Setiap ahli keluarga wajib mengetahui dan melaksanakan tanggungjawab dan peranan mereka.

>>BACK TO MAIN BLOG<<





No comments:

Post a Comment