Friday 8 June 2012

HUKUM PERKAHWINAN


Para ulama’ telah membuat persepakatan penentuan hukum berkahwin bergantung kepada kemampuan dan keadaan orang yang ingin berkahwin. Terdapat empat hukum berkahwin.

Pertama: Wajib
Penerangan : Jatuhnya hukum wajib terhadap seseorang itu untuk berkahwin sekiranya seseorang itu sudah berkemampuan dari segi zahir dan batin serta mempunyai nafsu syahwat yang tinggi. Sekiranya seseorang itu sudah melakukan pelbagai cara seperti berpuasa sunat namun masih tidak dapat melawan nafsu syahwatnya maka dia wajib berkahwin. Ini kerana di khuatiri sekiranya dia tidak berkahwin, dia akan terjerumus ke lembah zina. Sesungguhnya Allah amat membenci akan penzinaan.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji (fahisyah) dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”
(Al-Israk: 32)

Kedua : Sunat
Penerangan: Jatuh hukum Sunat sekiranya seseorang itu telah mampu dari segi zahir dan batin namun masih mampu mengawal nafsu syahwatnya. Contohnya seorang yang telah mempunyai pekerjaan yang tetap namun masih belum ingin berkahwin kerana belum bersedia atau masih ingin menikmati zaman bujangnya maka sunat baginya untuk berkahwin. Ini kerana, tindakannya untuk tidak berkahwin tidak akan memberikan apa-apa masalah ke atas dirinya atau orang lain.


Ketiga : Makruh
Penerangan : seseorang itu makruh berkahwin sekiranya dia berasa bimbang atau khuatir sekiranya dia berkahwin dia tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaiknya atau pun dia mungkin menyebabkan kekerasan terhadap pasangannya. Contoh-contoh golongan ini adalah mereka yang terlalu tua, mempunyai penyakit serius tetapi tidak berjangkit dan mereka yang panas baran melampau. Kebimbangan ini adalah bersifat kemungkinan sahaja.
Imam Syafie mengatakan bahawa sesuatu perkahwinan akan menjadi makruh apabila seseorang lelaki yang berkahwin itu berada dalam keadaan uzur yang serius, seperti faktor usia yang terlalu lanjut atau masalah kesihatan seperti mati pucuk ataupun mengidap penyakit yang tidak mungkin sembuh.

Keempat : Haram
Penerangan : Seseorang itu haram berkahwin sekiranya dia berasa bimbang atau khuatir sekiranya sekiranya dia berkahwin dia tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaiknya atau pun dia pasti menyebabkan kekerasan terhadap pasangannya. Contoh-contoh golongan ini adalah mereka yang tidak waras dan mempunyai penyakit serius dan mampu berjangkit seperti Aids dan penyakit kelamin. Kebimbangan ini adalah bersifat pasti.
Golongan-golongan ini mungkin akan mengabaikan tanggungjawabnya. Maksud pengabaian tanggungjawab di sini adalah seperti tidak dapat menyediakan tempat tinggal yang sempurna, memberi pakaian, makanan, jaminan kesihatan dan keselamatan serta lain-lain keperluan asas yang sepatutnya seperti yang dituntut oleh syara' ke atas setiap suami.


No comments:

Post a Comment